Custom Search
Malaysia Web Hosting

Beringat sebelum kena - Wan Chik

>> Thursday, December 17, 2009

Oleh RABIATUL ADAWIYAH KOH ABDULLAH
adawiyah.koh@utusan.com.my


SELEPAS setahun hidup bersendirian, wanita yang hampir mencecah 70 tahun ini masih mampu tersenyum. Pemeriksaan kesihatan yang tidak pernah putus antara petua dia masih cergas dan sihat.

Wan Chik Othman mengakui mutu kesihatannya menurun memandangkan usianya semakin meningkat.

Namun, dia bersyukur kerana dia sudah mengambil langkah berjaga-jaga, beringat sebelum kena.

Ketika bertugas di di Radio Televisyen Malaysia (RTM) dulu, dia wajib melakukan pemeriksaan kesihatan sekurang-kurangnya setahun sekali.

Selepas pencen pada umur 55 tahun, Wan Chik semakin sedar tentang pentingnya menjaga kesihatan.

Ibu kepada empat orang anak ini tidak lupa membuat pemeriksaan kesihatan setiap enam bulan sekali.

Memandangkan ibunya menghidap kencing manis dan bapa ada sakit jantung, Wan Chik sedar dia juga mempunyai risiko penyakit yang sama.

Justeru itu, dia sentiasa peka tentang kesihatan diri dan maklumat pelbagai penyakit.

"Kita berusaha untuk mengawal penyakit dan Alhamdulillah saya dapat melakukannya. Cuma tiga tahun lalu. saya baru hendak dapat kencing manis. Sejak itu, saya lebih prihatin tentang kesihatan saya," ujarnya yang ditemui di teratak R.W, Taman Keramat AU3, Kuala Lumpur.

Sedikit kecewa dengan sikap masyarakat, Wan Chik berpendapat, ramai yang malas buat pemeriksaan kesihatan khususnya pada usia muda.

"Inilah realitinya, kadang-kadang kanser hanya dapat dikesan pada tahap lewat. Masyarakat harus disaran untuk membuat pemeriksaan. Misalnya, bagi mereka yang berkahwin, lakukan pemeriksaan pap smear setiap tahun untuk mengesan kanser pangkal rahim. Saya sendiri melakukan mamogram dua tahun sekali untuk pemeriksaan kanser payu dara," jelasnya.

Sebagai wanita yang semakin meningkat usia, Wan Chik sering mendapatkan nasihat doktor. Baginya, pesakit perlu mendapat khidmat nasihat pakar untuk menjamin kesihatan yang baik.

Terbaru, doktor mendapati tahap kolestrol Wan Chik tidak menentu. Atas nasihat doktor, setiap minggu, dia akan pergi farmasi untuk memeriksa tahap kolestrol.

Jika tahap kolestrol tinggi, Wan Chik akan berpantang ketika makan.

"Oleh itu, saya akan tidak makan daging. Sekarang, saya hanya makan nasi seminggu sekali. Dulu, saya tidak minat makan buah-buahan dan sayur-sayuran. Tetapi atas nasihat doktor, saya perlu utamakan makanan sihat ini. Berbeza dengan buah-buahan luar negara, kebanyakan buah-buahan tempatan manis. Sebab itu, saya gemar makan jambu batu kerana ia kurang manis," katanya.

Berisiko

Apabila berisiko menghidap penyakit dan berusia lanjut, Wan Chik menyedari dia tidak boleh silap makan.

Tambahnya, dulu dia suka makanan manis seperti tapai dan aiskrim. Kebetulan makanan itu sentiasa ada, dia mudah memperolehinya. Kini, dia terpaksa melupakan segalanya.

Wan Chik sentiasa mengingatkan dirinya, manusia mudah dijangkiti dan perlu melakukan pemeriksaan berkala.

Itulah rahsia kesihatannya yang sentiasa diamal sejak muda lagi.

"Sekarang saya gembira kerana pada usia 70 tahun, saya boleh memandu kereta. Dalam pada itu, selain penjagaan kesihatan, kita perlu perbanyakkan aktiviti fizikal.

Apabila berusia ini, kita tidak kerap buat senaman. Dulu setiap minggu saya akan menari poco-poco. Ia tarian pergaulan rakyat yang baik untuk kesihatan. Dengan menari, kita berpeluh menjadi sihat dan menjalin hubungan sosial dengan orang lain," ujarnya yang baru sahaja mengadakan majlis ulang tahun perkahwinannya dengan M. Rajoli.

Selain itu, penjagaan kesihatan fizikal, Wan Chik tidak lupa mengamalkan kesihatan rohani.

Setiap minggu, dia akan mengisi jadual hariannya dengan aktiviti mengaji al-Quran di beberapa buah tempat.

Baginya, duduk keseorangan membuatkan dia sedar tentang pentingnya bekalan dunia dan akhirat.

Apabila berjiwa tenang, Wan Chik yakin ia mempengaruhi kesihatan fizikal seseorang.

"Saya ada seorang rakan yang menghadapai tekanan jiwa. Situasi itu menyebabkan dia menghidap tekanan darah tinggi dan akhirnya, strok. Ini menyedarkan saya tentang pentingnya menjaga kesihatan dalaman (jiwa)," ujarnya.

Sebagai seorang yang mementingkan kesihatan, Wan Chik tidak pernah lupa mendapatkan maklumat kesihatan terkini. Pada masa lapang, dia gemar membaca suratkhabar dan majalah untuk menambah ilmu tentang kesihatan.

Baginya, ilmu ini tidak akan diperolehi di sekolah. Justeru itu, amalan membaca bahan ilmiah amat penting.

Mengakhiri bicara, Wan Chik menasihatkan golongan muda agar menjaga pemakanan, lakukan banyak aktiviti fizikal dan lakukan pemeriksaan kesihatan berkala.

Tambahnya, jangan terlalu tekanan walaupun banyak kerja dan carilah peluang untuk berehat.

Sempena Aidiladha, Wan Chik yang telah menunaikan haji sebanyak tiga kali tidak pernah melupakan pengorbanan suaminya.

Baginya, lelaki ini adalah guru dan pembimbing dunia serta akhirat.

Mengimbau kisah silam, Wan Chik bersyukur kerana sempat menjaga M Rajoli yang menghidap kanser di kelenjar otak atau lymphoma dan disahkan lemah saraf sehingga menyukarkannya bergerak.

Dalam pada itu, melalui Persatuan Wanita Islam (Pewanis), Wan Chik mengalu-alukan wanita yang ingin mendapatkan vaksin kanser rahim pada kadar rendah menghubunginya di talian 012-3038680.

Pewanis yang dipengerusikan Datuk Azlina Che Abdullah telah mengadakan kempen kesedaran tentang pencegahan kanser kedua berbahaya ini.

(sumber: utusan malaysia)

0 comments:

, , , ,
Malaysia Web Hosting

News-Malaysia

  © Blogger templates Sunset by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP